Salam Ramadhan Fasal Ke Dua

Posted: August 21, 2010 in Iklan

‎[Diari Ramadhan] Adakah fasa kedua Ramadhan diteruskan dengan momentum laju daripada fasa pertama??.. Sama ada kita terus memecut dengan laju pada fasa kedua atau semakin perlahan.. Anda berhak tentukan ! Ayuh, banyakkan tadabbur kalam Allah.. Smg taqwa milik kita semua.. amin.. ~Ramadhan yang sama, NATIJAH yang BERBEZA~

15 Raja Terkaya Dunia

Posted: August 15, 2010 in Fakta

1. Raja Bhumibol Adulyadej, Thailand
Harta: RM96 bilion
Umur: 82

RAJA di dunia paling lama bertakhta. Sejak kebelakangan ini Bhumibol berdepan masalah kesihatan dan krisis politik. Bhumibol yang disanjung dan dihormati rakyat dimasukkan ke hospital tahun lalu, dipercayai kerana jangkitan paru-paru.  Dalam pada itu krisis politik membabitkan pembangkang dan kerajaan bertambah ganas sebelum diakhiri dengan tindakan kerajaan menggunakan kekerasan Mei lalu. Kekacauan itu termasuk pembakaran bangunan bursa saham di Bangkok yang sekali gus menjejaskan pasaran saham, menakutkan pelabur dan pelancong. Bhumibol yang dilahirkan di Amerika Syarikat dan mendapat pendidikan di Switzerland bagaimanapun tidak campur tangan dalam krisis itu. Harta raja diletakkan di bawah pengawasan Biro Hartanah Istana dan kebanyakannya yang membabitkan pelaburan awam serta hartanah tidak terjejas akibat krisis itu. Bagaimanapun kekacauan, jika berterusan, mungkin mengancam kedudukannya.

2. Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei
Harta: RM64 bilion
Umur: 63

SULTAN Hassanal Bolkiah menceraikan isteri ketiganya bulan lalu, kekal dengan isteri pertama yang juga bonda kepada bakal pengganti sultan, Putera Al-Muhtadee Bilah Bolkiah. Beliau dan kerajaannya menangani kemelesetan ekonomi dunia dengan dasar ekonomi konservatif dan mengikat nilai mata wang negara itu pada dolar Singapura. Bagaimanapun, pengeluaran minyak semakin perlahan dengan simpanannya dijangka hanya bertahan untuk 25 tahun lagi. Dalam usaha mempelbagaikan ekonominya, sultan itu juga dilapor terus berbelanja mewah. Baru-baru ini beliau dilapor membeli 48 beg tangan dan 24 payung itik di kedai Lederer de Paris, New York. Kes terhadap adiknya, Putera Jefri berhubung penyelewengan wang berjumlah RM51 bilion masih tertunda di mahkamah.

3. Raja Abdullah bin Abul Aziz, Arab Saudi
Harta: RM58 bilion
Umur: 86

BERJAYA memimpin Arab Saudi menangani kemelesetan ekonomi global menerusi perbelanjaan kerajaan dan peningkatan pengeluaran minyak. Ekonomi negara itu diunjur akan tumbuh empat peratus tahun ini. Hasilnya, harta raja juga meningkat. Tahun ini Arab Saudi menjadi tuan rumah Persidangan Majlis Kerjasama Teluk ke-12 dan ia turut dihadiri raja dari Qatar, Kuwait dan Dubai. Terkenal kerana langkahnya mengendurkan undang-undang syariah yang tegas, Raja Abdullah baru-baru ini memecat seorang ulama kerana menyelar kewujudan sebuah universiti yang membenarkan pergaulan di antara lelaki dan wanita.

4. Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahayan, Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Harta: RM48 bilion
Umur: 62

DILANTIK semula selaku Presiden Emiriah Arab Bersatu untuk penggal lima tahun kedua pada November lalu oleh Majlis Tertinggi Persekutuan emiriah. Beliau yang juga mengetuai emiriah Abu Dhabi menyediakan pakej penyelamat berjumlah AS$10 bilion kepada Dubai, Disember lalu. Bagaimanapun Sheikh Khalifa tidak dapat mengelak berdepan kemelesetan ekonomi dunia. Hartanya merosot RM9.6 bilion tahun lalu kesan penurunan pendapatan eksport minyak sebanyak 40 peratus. Keadaan bertambah buruk dengan kemelesetan dalam nilai hartanah dan pasaran saham. Sheikh Khalifa bagaimanapun tetap meneruskan rancangannya untuk menjadikan Abu Dhabi pusat pelancongan dan kebudayaan menjelang 2030.

5. Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Dubai
Harta: RM14 billion
Umur: 60

JUMLAH harta merosot berbanding tahun sebelum ini akibat hutang syarikat milik kerajaan berjumlah RM349 bilion. Hutang itu dijangka bertambah RM50 bilion lagi tahun ini. Di samping itu, Dubai Holdings, syarikat milik persendirian Sheikh Mohammed berhutang RM38.4 bilion, sebahagian besarnya menerusi syarikat pelaburan Dubai Group dan Dubai International Capital yang memiliki saham dalam syarikat induk Sony dan Airbus. Tahun lalu beliau menjual sahamnya dalam bank pelaburan Mesir, EFG Hermes pada harga diskaun sebanyak 60 peratus berbanding harga belian dua tahun lalu. Sheikh Mohammed baru-baru ini berkata, ekonomi UAE mencatatkan pencapaian memuaskan dan masalah ekonomi yang dihadapinya sudah berlalu. Pemimpin Dubai ini terkenal kerana kemahirannya berkuda dan mempunyai aset ekuin bernilai tinggi.

6. Putera Hans-Adam II von und zu Liechtenstein, Liechtenstein
Harta: RM11.2 bilion
Umur: 65

KETUA sebuah keluarga yang berusia hampir 900 tahun, Putera Hans-Adam II baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahirannya ke-65 dengan mengadakan pameran seni di Muzium Liechtenstein, Vienna.
Sebanyak 140 hasil seni yang diperoleh sepanjang beliau bertakhta, termasuk hasil lukisan Rembrandt dan Rubens, dipamerkan. Beliau turut mempromosi buku barunya, ‘The State in the Third Millennium’.
Dalam pada itu Liechtenstein berusaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk menangani jurang belanjawan sebanyak 15 peratus. Keuntungan dalam bank miliknya, LGT, merosot 35 peratus tahun lalu.

7. Raja Mohammed IV, Maghribi
Harta: RM8 bilion
Umur: 46

MENAIKI takhta selepas kematian bapanya pada 1999. Memberi tumpuan terhadap usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan rekod hak asasi kemanusiaan bapanya. Aset keluarga diraja termasuk saham dalam kumpulan OCP, satu-satunya syarikat perlombongan fosfat negara itu di samping beberapa syarikat hartanah. Harga fosfat kian meningkat selepas merudum tahun lalu. Cita-cita Raja Mohamed untuk menarik 10 juta pelancong setahun ke negara itu menjelang 2010 hampir tercapai dengan bantuan Hollywood. Negara itu baru-baru ini menjadi lokasi penggambaran drama televisyen dan filem, termasuk ‘Sex and the City 2’ dan ‘Prince of Persia’.

8. Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, Qatar
Harta: RM8 bilion
Umur: 58

MENJADI pemerintah selepas menggulingkan bapanya dalam rampasan kuasa pada 1995. Mengetuai satu daripada negara yang mencatat pencapaian terbaik ekonomi di dunia. Keluaran Negara Kasar meningkat 9.5 peratus tahun lalu dan dijangka mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini. Qatar Holding membeli pusat beli-belah Harrods di London dengan harga RM6.4 bilion awal tahun ini. Emir Qatar ini juga berusaha membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bola Sepak 2022. Jika bidaan itu berjaya, inilah julung kalinya kejohanan itu berlangsung di Asia Barat. Pada masa lapang, Sheikh Hamad menghabiskan masa di atas kapal layarnya sepanjang 133 meter, Al Mirqab, antara yang terbesar di dunia.

9. Putera Albert II, Monaco
Harta: RM3.2 bilion
Umur: 52

KETUA keluarga Grimaldi ini berusaha membesarkan wilayah Monaco yang lebih kecil dari Central Park, New York dengan menambak laut. Beliau mempromosi filemnya, ‘Antarctica 2009: A Continent in a State of Alert’ yang berdasarkan penjelajahannya selama 17 hari di daerah baru itu. Jun lalu, Albert mengumumkan pertunangannya dengan bekas perenang Afrika Selatan, Charlene Wittstock. Albert kini berdepan tindakan undang-undang oleh bekas kakitangannya, Robert Eringer, yang didakwa menjalankan perisikan untuk Monaco berhubung pembayaran gaji tertunggak. Harta keluarganya termasuk hartanah, hasil seni, kereta antik, setem dan saham dalam kasino Monte Carlo.

10. Putera Karim Al Husseini, Aga Khan
Harta: RM2.6 bilion
Umur: 73

SATU-satunya pemimpin yang tidak mempunyai negara untuk diperintah ialah Aga Khan, ketua 17 juta penganut Ismaili yang bertaburan di seluruh dunia. Putera Karim ialah imam masyarakat Ismail ke-49 selepas menggantikan datuknya, Sultan Mahomed Shah Aga Khan pada usia 20 tahun pada 11 Julai 1957. Beliau mempengerusikan Rangkaian Pembangunan Aga Khan yang menggalakkan pelaburan di Asia dan Afrika. Beliau yang meminati kuda mempunyai kira-kira 800 ladang ternak haiwan berkenaan di Ireland dan Perancis, memegang saham dalam Goff — syarikat lelong kuda terbesar di Britain dan Aqana — syarikat lelong kuda Perancis.

11. Sultan Qaboos bin Said, Oman
Harta: RM2.2 bilion
Umur: 69

MENAIKI takhta pada 1970 selepas menggulingkan bapanya dalam rampasan kuasa. Berjaya mengetuai Oman dalam usaha mempelbagaikan ekonomi dengan matlamat mengurangkan penggantungan pada sektor minyak, daripada 40 peratus sumbangan kepada Keluaran Negara Kasar kepada sembilan peratus saja menjelang 2020. Sultan Qaboos juga meningkatkan industri gas dan pelancongan. Kerajaannya mempunyai saham dalam Wave, syarikat yang terbabit dalam pembangunan di kawasan pantai berhampiran ibu negara Oman, Muscat. Meskipun menjadi peminat setia muzik klasik, Sultan Qaboos membiayai sendiri kerja membaik pulih masjid di seluruh negara itu. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan tentera Britain selepas menamatkan latihan di Akademi Tentera Sandhurst. Bercerai tanpa anak, isu penggantinya kini semakin hangat dibincangkan oleh rakyat Oman.

12. Permaisuri Elizabeth II, UK
Harta: RM1.4 bilion
Umur: 84

MONARKI paling lama bertakhta dalam sejarah Britain. Meskipun menjadi permaisuri sejak berusia 25 tahun, Elizabeth belum menunjukkan tanda akan menyerahkan takhta itu kepada anaknya yang sekian lama menanti, Putera Charles. Beliau adalah penjaga hartanah milik negara seperti Istana Buckingham, Permata Mahkota dan koleks seni diraja. Harta milik peribadinya termasuk hartanah di England dan Scotland, hasil seni halus, permata dan koleksi setem. Cucunya, Putera William yang menduduki tangga kedua senarai pewaris takhta dijangka mengumumkan pertunangan dengan teman wanitanya, Kate Middleton, tidak lama lagi.

13. Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al Sabah, Kuwait
Harta: RM1.2 bilion
Umur: 81

SHEIKH Sabah tidak berkongsi kekayaan minyak negaranya seperti raja negara Teluk lain. Beliau sebaliknya menerima pendapatan tahunan. Hartanya terjejas dengan kegawatan ekonomi yang melanda Kuwait. Negara yang bergantung dengan pendapatan hasil minyak ini tidak berusaha mempelbagaikan ekonomi.

Pertelingkahan politik sejak tiga tahun lalu menyebabkan pembubaran Parlimen sebanyak tiga kali dan perletakan jawatan lima kerajaan. Ia juga menjadi punca pelabur asing menarik diri dari negara itu.

14. Ratu Beatrix Wilhelmina Armgard, Belanda
Harta: RM640 juta
Umur: 72

PERMAISURI Beatrix menyambut ulang tahun ke-30 pemasyhurannya tahun ini. Ibunya, Permaisuri Juliana mengambil langkah turun takhta untuk membolehkan Beatrix menggantikannya pada 1980.
Sebagai ketua negara, permaisuri itu dilihat sebagai kuasa penyatu kerana tidak ada parti politik mencapai kemenangan mutlak dalam pilihan raya. Beliau melantik orang tengah untuk berunding dengan pelbagai parti bagi membentuk Kabinet. Peningkatan pendapatan eksport, pemulihan industi hartanah dan pasaran saham yang kembali kukuh membantu menstabilkan harta keluarga diraja. Bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai kerajaan baru dan langkah berjimat-cermat kerajaan pada masa depan untuk mengurangkan defisit bajet mungkin menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Antara hartanah dimiliki Permaisuri Beatrix termasuk Istana Drakensteyn di Belanda dan sebuah villa di Tuscany, Itali.

15. Raja Mswati III, Swaziland
Harta: RM320 juta
Umur: 42

SATU-satunya raja yang masih berkuasa mutlak di Afrika. Beliau yang menaiki takhta pada usia 18 tahun terus mengekalkan cengkaman kuat terhadap pembangkang dengan menguatkuasakan perlembagaan yang mengharamkan parti politik. Bagaimanapun, kerajaannya bertegas menyatakan parti politik bebas untuk bergerak di negara itu. Raja Mswati sering diselar kerana berbelanja mewah.
Sebahagian daripada 13 isterinya dilapor menghabiskan AS$6 juta dolar untuk membeli-belah beberapa bulan lalu. Ketika 69 peratus penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan, 50 peratus menganggur dan suku daripada penduduknya yang aktif seks disahkan menghidap HIV, Raja Mswati masih mampu membina istana dan menyediakan kereta mewah untuk 13 isterinya.

sumber dari harian Metro : 15 0gos 2010

FENOMENA RAMADHAN

Posted: August 14, 2010 in Artikel

Firman Allah Taala

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang batil.  Oleh itu, sesiapa diantara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan, maka hendaklah dia berpuasa. Dan sesiapa yang sakit atau bermusafir bolehlah dia berbuka dan wajiblah keatasnya untuk menggantikan sebanyak hari yang ditinggalkannya pada hari yang lain.  Allah menghendakkan kamu beroleh kemudahan, dan tidak menghendaki kamu beroleh kesusahan. Dan juga supaya kamu dapat sempurnakan bilangan puasa iaitu sebulan Ramadhan, dan supaya kamu membesarkan Allah diatas petunjukNya agar kamu bersyukur.”        ( Al Baqarah : 185 )

Segala puji Allah yang memberikan nikmat Ramadhan yang kini sudah masuk Ramadhan ke empat. Masih berbaki 26 Ramadhan untuk menyedok sebanyak pahala kurniaan Ilahi. Alhamdulillah, bulan yang amat dinantikan oleh orang yang beriman agar dapat mendekatkan diri kepada Allah.  Kelebihan amal di bulan Ramadhan sama taranya dengan umat dan kaum yang terdahulu yang yang dikurniakan Allah umur yang panjang. Mereka mempunyai waktu yang lama untuk mengumpul pahala dan mengabdikan diri kepada Allah. Namun, di atas syafaat Nabi Muhammad , umatnya dikurnikan seperti mana umat yang terdahulu hanya di dalam satu bulan..Subhanallah, Maha Suci Allah.

KISAH MAJUSI DAN RAMADHAN.

Ada satu kisah, pada zaman dahulu ada seorang Majusi yang turut serta menghormati kemulian bulan Ramadhan. Dia mempunyai seorang anak lelaki, dan pada bulan Ramadhan anak itu pergi ke pasar lalu makan di tengah keramian orang ramai. Maka anak itu dipanggil seraya dipukul, lalu berkata kepada anaknya “ mengapa kamu tidak ikut menjaga kehormatan kaum Muslimin pada bulan Ramadhan ini?”. Setelah majusi itu meninggal dunia, ada seorang alim yang bermimpi melihatnya berada  dibalai kehormatan di dalam Syurga. Maka dalam mimpinya itu dia bertanya : “ bukankah tuan ini beragama Majusi? ” . Jawabnya : “ benar, akan tetapi saat menjelang kematianku, aku mendengar suara dari atasku : “ Hai para MalaikatKu, janganlah kalian tetapkan hambaKu ini sebagai Majusi, tetapi muliakanlah dia sebagai seorang Muslimin sebagaimana dia menghormati bulan Ramadhan”. Kisah tersebut mengisyaratkan bahawa orang Majusi tersebut sebenarnya telah tergolong Muslim lantaran dia bersedia memuliakan Ramadhan. Pada akhir hayatnya dia mendapat anugerah iman di sisi Allah. Maka bagaimana halnya dengan orang seperti kita yang berugama Islam yang telah berpuasa di bulan Ramadhan?.

1 RAMADHAN : FENOMENA ANEH LUAR BIASA

Allah teramat memuliakan bulan Ramadhan. Di dalam kitab yang di karang oleh Ibnu Ghazali Mohd Najib ada meyebut. Allah berfirman secara lansung kepada Musa. “ Hai Musa, sungguhnya Aku memiliki para hamba yang akan lahir pada akhir zaman nanti. Mereka akan Ku muliakan dengan bulan Ramadhan. Aku lebih dekat kepada mereka daripada Aku dekat kapadamu wahai Musa”.

saat waktu kunjungan awan hitamBerlaku di HELSINKI Finland, segerombolan awan hitam yang membawa bala tentera ribut, petir dan hujan telah meranapkan sebahagian besar wilayah tersebut. Kenapa ini semua terjadi?. Sebenarnya, pada waktu tersebut, orang ramai sedang kusyuk menyaksikan konsert Motley Crue di Festival Sonisphere. Lagu-lagu rock yang bakal dinyanyikan oleh kumpulan terkenal seperti Iron Maiden, Alice Cooper, dan Motley Crue disaksikan oleh 30,000 orang peminat. Semuanya itu berlaku pada 1 RAMADHAN, bulan yang penuh mulia. Segerombolan awan hitam yang juga turut hadir meyaksikan konsert itu membawa peringatan buat mereka. Akhirnya semuanya punah ranah dan terpaksa dibatalkan. Nah ! , Terbuktinya sudah Allah amat mengagungkan RAMADHAN.

Sebaliknya di Malaysia, pada 1 RAMADHAN umat Islam dikejutkan dengan penemuan 2 orang bayi perempuan yang ditinggalkan. Bayi perempuan malang itu ditemui di sebuah rumah kosong dan salah seorang lagi ditemui dalam tong sampah. Tergamak kah ibu tersebut berbuat demikian pada awal bulan berkat: SATU RAMADHAN !!. Adakah kita mahu menunggu nasib yang sama seperti yang ALLAH turunkan di HELSINKI ? . nauzubillah…ALLAH tidak hanya menurunkan bala kepada individu yang melakukan kesalahan saja, bahkan seluruh kampung yang didiami individu tersebut. Masihkan kita ingat lagi bencana TSUNAMI ACHEH? … Adakah kita menunggu seperti itu? ..

RAMADHAN : Bulan Untuk Berubah

Kita semua masih di awal Ramadhan. Awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di penghujungnya dibebaskan dari api neraka. Kita masih mempunyai waktu untuk menginformasikan perubahan diri. Tingkatkan amalan solat, sedekat dan amal jariah. Seminimum solat hanyalah solat sunat dua rakaat lillahi taala, seminimum sedekah hanyalah sedekahkan senyuman manis kita, dan seminimum beramal jariah, membersihkan habuk tak kira di mana jua..jadi, mulakan dari yang sedikit untuk memperoleh yang besar. Amat malanglah, bila berlalunya Ramadhan, kita masih tiada perubahan diri.

Sedangkan para Malaikat bersedih apabila berlalunya Ramadhan. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Nabi , Jabir R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “ apabila malam terakhir dari bulan Ramadhan telah tiba, maka menangislah seluruh langit dan bumi beserta seluruh Malaikat. Mereka menangis kerana umat  Muhammad mendapat musibah.” Salah seorang sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah, musibah apakah yang menimpa kita pada waktu itu?” . Rasulullah s.a.w menjawab : “ Pemergian bulan Ramadhan ! itulah musibah bagi kita, kerana pada bulan itu semua doa kita dimakbulkan, semua sedekah diterima, semua kebaikan dilipat gandakan dan semua siksa dihentikan”.

Mendengar pernyataan Rasulullah s.a.w itu, maka para sahabat berkata “ apakah yang lebih berhak menangisi di atas pemergian bulan Ramadhan?. Jikalau langit dan bumi serta para Malaikat sahaja merasa hiba terhadap kita umat Islam tatkala ditinggalkan oleh bulan Ramadhan, maka kita sendiri seharusnya lebih sedih daripada itu! “

NEGARA DUNIA KE TIGA

Posted: August 8, 2010 in Bicara Dunia

Sewaktu mendengar istilah dunia ke 3, semestinya kita akan terfikir bermacam-macam takrifan mahupun andaian dalam menghuraikan istilah tersebut. Mungkingkah Negara tersebut memduduki ranking ke tiga di dalam carta dunia dan di dalam proses untuk mencapai ranking ke dua dan pertama pada masa akan datang?. Ataupun sebagai gelaran Top Ten negara terkini dunia ?. Jikalaulah itu tafsirannyan beruntung dan bertuahlah negara-negara tersebut kerana memiliki status tersebut. Semestinya Negara tersebut mewah dan maju dengan inrfstuktur yang canggih sesusai dengan kehendak Negara dunia maju.

Namun, sebaik saja penelitian yang dijalankan. Istilah NEGARA DUNIA KE TIGA tidak seindah pentafsiran yang dibicarakan seperti di atas. Hakikatnya, Dunia Ke Tiga lebih menjurus  kepada pentafsiran lebih kepada penindasan, ketidak adilan, penafian sumber pendapatan, kebuluran dan persenggetaan. Kenapa penulis berkata sedemikian… ada suatu yang istimewa di sebalik istilah tersebut yang perlu kita kongsi bersama.

BLOK-BLOK DUNIA

Istilah –istilah yang sengaja direka cipta ini tercetus selepas tamatnya paska Perang Dunia Ke Dua antara Perikatan Kuasa Tengah dengan Pakatan Bertiga. Selepas jatuhnya negara-negara tersebut, muncul kuasa besar yang baru iaitu Amerika Syarikat  dan Kesatuan Soviet sebagai pesaingnya. Adikuasa tersebut bersaing untuk memajukan dan membangunkan prasarana dunia selepas lumpuh akibat Perang Dunia Ke Dua yang dasyat. Malah,  mereka juga telah bergabung untuk menundukkan Empayar Jerman-Nazi yang juga mempunyai pengaruh kuat pada masa itu. Dengan kejatuhan Nazi, menjadikan mereka benar-benar berkuasa. Namun, sifat manusia yang gilakan kuasa..mana mungkin boleh wujud dua kepala yang berkuasa memerintah satu dunia.

Berlaku ketidak sefahaman antara mereka tentang cara dan kaedah membangunkan dunia sehingga tercetusnya Perang Dingin. Malahan istilah Perang Dingin sengaja direka dicipta oleh Bernard Baruch dan Walter Lippman pada tahun 1947 untuk menggambarkan situasi getir yang berlaku antara adikuasa tersebut. Persaingan tersebut terjadi dalam pelbagai bidang termasuklah, perlumbaan pembinaan senjata nuklear, industri, pembangunan dan sebagainya. Akhirnya Perang Dingin berakhir pada tahun 1980-an setelah  pemimpin Kesatuan Soviet iaitu Mikhail Gorbachev meluncurkan program reformasi yang telah dilaksanakan sebelum ini. Secara kongsisten Kesatuan Soviet hilang kuasa di Eropah Timur dan dibubarkan pada tahun 1991. Maka muncullah satu kuasa besar yang menggelarkan dirinya “POLIS DUNIA” yang kemudiannya membahagikan dunia ini kepada blok-blok yang tertentu.

NEGARA DUNIA PERTAMA, KE DUA dan KE TIGA

Secara mudahnya, pentafsiran Negara Dunia Pertama adalah negara maju yang ditadbir dan dinaungi oleh AS sendiri. Kehidupan Negara mewah yang mengatasi Negara-negara lain. Menjadikan mereka Negara-negara yang memduduki carta teratas. Manakala definisi Negara Dunia Ke Dua pula, merupakan Negara-negara yang pernah dijajah oleh kuasa besar dan kemudiannya dalam tempoh tertentu diberikan kemerdekaan dengan syarat-syarat yang tertentu. Contoh yang mudah ialah Negara Malaysia sendiri. Justeru itu, Negara-negara lain yang tidak termasuk dalam dua kategori ini dianggap Negara Dunia Ke Tiga. Ianya diklasifikan sebagai Negara yang tidak mempunyai sebarang industri yang tetap dan mempunyai pendapatan perkapita yang rendah.

Secara puratanya Negara Dunia Ke Tiga merupakan bilangan Negara yang terbanyak di dunia berbanding dengan Negara dunia yang lain. Tujuan pembahagian blok-blok dunia ini adalah untuk membezakan negara kaya yang meliputi negara penjajah dan negara miskin yang meliputi negara yang di takluk. Proses penaklukan juga adalah untuk mengekalkan status “quo” disamping untuk memperluaskan kuasa dan mencari kekayaan dari luar untuk negara mereka.

NEGARA ISLAM : NEGARA DUNIA KETIGA

Dalam tidak sedar, rata-rata Negara yang ditakluk ataupun Negara Dunia Ke Tiga adalah negara masyarakat Islam. Contohnya Chechnya. Sebut sahaja Chechnya siapa tidak kenal. Kisah-kisah perjuangan mereka banyak dipotretkan dalam cakera padat yang dijual Malaysia. Malahan, penulis sewaktu di Syria belajar di satu kelas yang sama dengan anak-anak muda Chechnya dan juga dari negara-negara lain. Mereka berhijrh ke Syria untuk menggali sebanyak mungkin Ilmu untuk disemaikan di Negara mereka.  Kancah perjuangan Chechnya sudah berlarutan hampir 400 tahun lamanya. Negara Chechnya merupakan Negara yang kaya dengan minyak dan gas asli. Sehinggakan sewaktu perang dingin komunis Russia mendapatkan sumber minyak sepenuhnya dari wilayah ini. Menyedari kepentingan dan kerungsingan jikalau wilayah Islam ini bangun untuk mentadbir dunia, maka penindasan dilakukan dan kekejaman dilaksanakan sehingga di saat ini.

Kashmir, negara yang ditubuhkan oleh masyarakat Islam India juga mengalami nasib yang sama. Hampir saban hari kes pengeboman disiarkan di kaca mata televisyen. Kashmir yang wujud pada hari ini terus hidup di bawah penindasan India. Mereka tidak membenarkan Kashmir mencapai objektifnya menjadi sebuah Negara Islam. Sumber kaya yang dianugerahkan kepada Kashmir iaitu emas, batu zamrud dan delima disamping kedudukannya yang strategik di pergunungan mampu untuk mengawal keadaan persekitaran, mengundang bimbang kepada musuh-musuh Islam jikalau akan muncul sebuah Negara Islam di Benua Asia. Maka Kashmir dan Chechnya mendapat “layanan” seperti yang telah kita maklum.

Kashmir dan Chechnya telah dikategerikan dalam blok Dunia Ke Tiga. Kisah suka dukanya penulis telah huraikan serba sedikit mengikut pembacaan penulis. Walhal banyak lagi Negara Islam yang boleh diketengahkan dan dibincangkan seperti Palestin, Afghanistan, Sudan, Algeria, Bosnia , Kosovo dan lain-lain. Namun penulis tinggalkan huraian tersebut kepada para pembaca untuk huraikan sendiri, kerana penulis yakin pembaca yang membaca artikel ini mempunyai imput yang lebih jika hendak dibandingkan dengan penulis. Cuma, sebagai renungan, Allah kurniakan kepada negara masyarakat Islam pelbagai keistimewaan yang mana jika digunakan dengan betul, pastinya mampu untuk bangun menjadi satu empayar Islam yang hebat dan adil untuk menaungi bumi Allah dengan aman. Namun, penafian hak tidak sepatutnya menjadikan mereka terus berada di NEGARA DUNIA KE TIGA. Itulah hakikatnya…

Artikel ini pernah disiarkan di Majalah ITQAN edisi 35 ( majalah Persatuan Pelajar Malaysia Syria ) dan telah diolah oleh penulis untuk disiarkan untuk perkongsian umum.

Sumber rujukan :-  http://www.harunyahya.com

Kempen Pembuangan Bayi :: RANCAK

Posted: August 7, 2010 in Isu Semasa

Mungkin inilah tajuk yang sesuai untuk mentafsirkan kejadian BUANG BAYI yang semakin menjadi-jadi di Malaysia. Saban hari dan saban waktu  semestinya wujud kes pembuangan insan comel yang tidak berdosa itu. Semakin bercambah umpama membilang angka, makin dibilang makin bertambah angka tersebut. Terdetik pilu dan sayu di hati penulis memerhatikan semua ini. Wujudnya artikel ini hanya adalah untuk membuktikan kerunsingan dan pemprotesan hati penulis selaku orang yang berfikir dan memerhati.

Sehingga hari ini, sudah terlalu ramai lambakan anak tidak sah taraf dilahirkan. Jumlahnya sudah mencecah berpuluhan ribu. Namun, angka bilangan tersebut tidak akan berhenti. Tiada noktah, bahkan akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Buktinya, muka depan akhbar Metro pada hari ini bertarikh 7 Ogos 2010, terpangpang jelas seorang bayi perempuan dibiarkan seorang diri dalam pembentong longkang di Ampang. Dengan tidak berhati perut, seorang “betina” sanggup membiarkan anak yang dilahirkanya dibiarkan dalam air longkang yang kotor. Penulis cuba untuk berfikiran positif, mungkin jikalaulah penulis bayi tersebut, mungkin penulis akan bersyukur. Syukurlah aku diletakkan disini.. kerana ianya lebih baik jika dibandingkan dengan ditanam hidup-hidup, ataupun dibiarkan di tong sampah menjadi habuan anjing yang berpeleseran. Bertemankan air yang kotor sebagai pembalut kesejukkan tubuhku lebih baik daripada bertemankan anjing-anjing yang rakus memamah tubuhku nanti .. TERIMA KASIH IBUKU !!!!

JALAN PENYUDAH SEMUA INI.

Di dalam keratan akhbar mahupun internet banyak cadangan bernas yang diketengahkan. Namun, ianya mungkin sekadar cadangan. Mungkin masih tiada lagi jalan penyelesaian penyudah untuk semua ini. Bermulanya dengan cadangan supaya dididik tentang penggunaan pil pencegah kehamilan dan juga menyediakan alat pencegah kehamilan seperti IUD, pendedahan awal pendidikan seks di sekolah-sekolah, mewujudkan sekolah khas untuk gadis-gadis hamil luar nikah, memperkasakan kempen kesedaran dan menjelaskan keburukan seks bebas dan bermacam-macam. Terlalu banyak untuk dinyatakan. Namun jika kita bertenang dan berfikiran secara logik dan terbuka, mana mungkin kita dapat mengatasi semua ini jika kita tidak banteras “PENYUMBANG” nya terlebih dahulu.

Kita boleh sediakan prasarana mewah untuk gadis-gadis yang terlanjur, namun bolehkah kita sediakan prasana lengkap untuk mencegah gadis di luar sana yang masih aktif bermaksiat. Kita boleh laksanakan pendidikan khas tentang kehamilan dan menyediakan alat pencegah maksiat, namun ianya seperti merancakkan lagi percambahan penzinaan. Perlaksanaan pendidikan pencegahan kehamilan hanya akan menggalakkan lagi remaja-remaja bermaksiat dan berhubung intim kerana ada “cara” untuk mengelak kehamilan. Dan kita boleh bagi kesedaran, namun sampai bila ianya akan bertahan sedangkan diluar sana ”kesedaran bermaksiat” masih berleluasa ibarat magnet yang sentiasa memanggil-manggil untuk mendekatinya. Jadi dimanakah silapnya… fikir-fikirkanlah..

NEGARA BARAT :: Dan Masyarakat ISLAM

Negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.

Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat. Dan melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah.

Persoalan yang timbul, penulis yakin ramai di kalangan kita yang terikut akan kaedah “murni” perlaksanaan barat ini. Tidak dinafikan, ada kebaikan dan juga manfaat dari semua ini. Dapat menghindarkan anak-anak yang tidak berdosa itu terbiar begitu saja. Namun, itu semua perlaksanaan sesudah berlaku semuanya. Bagaimana pula cadangan sebelum ianya berlaku? . Sedangkan pepatah ada menyebut “ MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MENGUBATI ” kita mesti ingat.. perlaksanaan tersebut mungkin sesuai untuk dilaksanakan di Negara Barat. Tetapai di Malaysia yang masyarakatnya Islam adakah sesuai? . Ianya seolah2 membenarkan kes pembuangan bayi berterusan, kerana ada pihak yang bertanggungjawab akan menanggung risikonya.

Mungkin anak-anak yang terlahir itu perlu ada inisiatif untuk menjaganya. Namun inisiatif  mencegahnya mesti diwujudkan juga. Secara umumnya di Malaysia, rata-rata masyarakatnya adalah Islam. Dan kalangan orang melakukan ini semua, penulis yakin semuanya adalah Islam.  Justeru itu, kaedah dan penyelesainnya mesti mengikut kaedah Islam juga. Islam  itu tinggi, dan tidak ada yang yang lebih tinggi melainnya. Kita ada peraturan dan ketetapan yang telah ditetapkan Allah kepada hambanya. Jika di amalkan hukum tersebut, nescaya segala masalah yang ada akan selesai dengan mudah. Pokoknya ..kita mesti kembali kepada ISLAM .!!